SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan PM R16.2: Selangor FC vs Kelantan United FC | Selangor Tempah Tiket Ke Suku Akhir #TMPialaMalaysia2022

Nov 02, 2022 - FAS

Selangor Tempah Tiket Ke Suku Akhir #TMPialaMalaysia2022

Selangor FC mengesahkan kemaraan ke pusingan Suku Akhir TM Piala Malaysia 2022 selepas berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 (3-0 secara aggregat) pada perlawanan kedua pusingan 16 pasukan terbaik malam tadi di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Berbekal dua gol yang diperoleh di tempat lawan, Gergasi Merah membuat dua pertukaran pada kesebelasan utama dengan kembalinya Sharul Nazeem yang selesai menjalani penggantungan perlawanan dan Kelvin Kyei yang diberikan kepercayaan oleh Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk memulakan perlawanan selepas beraksi dengan baik pada perlawanan pertama di Kota Bharu sebelum ini.

Kedua-dua pasukan memulakan aksi perlawanan dengan berhati-hati di mana tidak banyak percubaan berbahaya terhasil pada babak pertama. Selangor beberapa kali berjaya melakukan percubaan menerusi Aliff Haiqal, Herlison Caion, Mukhairi Ajmal dan Hein Htet Aung namun tidak berjaya untuk menembusi gawang gol Kelantan United yang dikawal oleh Fikri Che Soh.

Selangor yang mendominasi perlawanan sesekali dikejutkan dengan serangan balas pihak lawan namun penjaga gol Selangor, Khairulazhan Mohd Khalid tenang menafikan percubaan tersebut. Menuju ke penghujung perlawanan, Selangor dihadiahkan sepakan percuma berhampiran kawasan kotak penalti Kelantan United. Mukhairi Ajmal yang mengambil sepakan tersebut berjaya membuat satu umpanan yang berbahaya sehingga menyebabkan pemain lawan, Nik Akif Syahiran tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit ke-90 dan kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.

Berikut adalah beberapa fakta menarik yang dapat dicatatkan dari perlawanan malam tadi:

  • Penampilan ke-50 buat Norhakim Hassan

Pemain sayap kiri, Norhakim Hassan telah membuat 50 penampilan bersama Gergasi Merah sejak 2021.

  • ‘Clean Sheet’ ke-26 buat Khairulazhan

Penjaga gol, Khairulazhan mencatatkan ‘clean sheet’ ke-26 bersama kelab sejak 2016.

  • Rekod tanpa kalah Tan Cheng Hoe diteruskan selepas enam perlawanan

Kemenangan 1-0 malam tadi menyaksikan rekod cemerlang Tan Cheng Hoe diteruskan selepas enam perlawanan dengan mengutip lima kemenangan dan satu keputusan seri sebelum ini.

Dengan kemenangan 3-0 menerusi aggregat, Selangor menempah tiket ke pusingan Suku Akhir dan bakal bertemu Negeri Sembilan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, 6 November ini sebelum bertandang ke Stadium Abdul Rahman, Paroi, 12 November akan datang untuk merebut slot ke pusingan Separuh Akhir.

Ayuh Gergasi Merah, kita penuhkan Stadium MBPJ dengan gelombang Merah Kuning untuk perlawanan Suku Akhir hujung minggu ini!

Demi Kebanggaan!